Azizi Safar

 

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih baik diadakan lebih awal tidak boleh ditafsirkan sebagai desakan atau tekanan kepada Perdana Menteri, kata pemerhati politik Azizi Safar.

Beliau berkata, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menjelaskan bahawa UMNO dan BN tidak mempunyai masalah sekiranya PRU16 diadakan pada penghujung tahun depan.

“Tiada gesaan. Tiada tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bubar Parlimen.

“Malah Zahid jelas menyatakan UMNO dan BN okay sahaja jika PRU16 diadakan hujung tahun depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Namun menurut Azizi, kenyataan Zahid itu mencetuskan pelbagai spekulasi kerana dalam politik, sesuatu kenyataan sering ditafsir berdasarkan perkara yang dianggap tersirat, termasuk soal kedudukan dan kekuatan politik sesebuah parti.

Beliau berkata, kenyataan bahawa PRU diadakan lebih awal lebih baik boleh dianggap sebagai isyarat bahawa BN melihat dirinya berada dalam kedudukan yang baik, namun ia tidak semestinya bermaksud parti berkenaan mahu Pilihan Raya diadakan segera.

Katanya, kenyataan itu juga tidak wajar dilihat sebagai bentuk ancaman terhadap Kerajaan Perpaduan kerana Zahid sendiri mengakui UMNO dan BN bersedia sekiranya Parlimen melengkapkan tempoh penggal.

“Zahid Hamidi cuma menyatakan pandangan strategik parti beliau. Itu hak setiap pemimpin politik.

“Yang penting, beliau tidak menolak kemungkinan penggal penuh dan tidak meletakkan syarat kepada Perdana Menteri,” katanya.

Azizi berkata, situasi politik sekarang sememangnya sensitif kerana Kerajaan Perpaduan dibentuk tanpa satu gabungan memiliki majoriti mutlak, menyebabkan setiap kenyataan berkaitan masa depan kuasa mudah ditafsir dari sudut siapa yang mendapat manfaat atau sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa keputusan mengenai pembubaran Parlimen bukan terletak pada mana-mana individu atau parti semata-mata.

“Keputusan bila Parlimen dibubar terletak di tangan perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Bukan di tangan mana-mana individu atau parti.

“Yang penting sekarang, fokus pada prestasi, bukan spekulasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here