Orang awam dan pelancong tidak melepaskan peluang menyaksikan gelagat orang utan di Semenggoh Wildlife Centre, Sarawak. FOTO MUHAIMIN MARWAN, 19 OGOS 2025.

LAPORAN bahawa kira-kira RM36 juta dijangka dibelanjakan oleh rakyat Malaysia dalam tempoh lima hari ketika cuti umum yang panjang senpena Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan di selatan Thailand cukup menarik untuk dikupas dan diteliti
dalam konteks yang lebih luas dan mendalam.

Data ini berdasarkan anggaran sekitar 60,000 rakyat Malaysia yang berkunjung ke kawasan berkenaan dengan purata perbelanjaan kira-kira RM600 seorang. Menarik untuk diteliti, jumlah tersebut bukanlah kecil, malah memberikan gambaran luas tentang besarnya kuasa perbelanjaan rakyat Malaysia ketika musim cuti.

Pada masa yang sama, perkembangan ini berlaku ketika beberapa kawasan di selatan Thailand berdepan insiden keselamatan seperti dilaporkan oleh media. Beberapa siri serangan bom dan kejadian khianat bakar dilaporkan berlaku di sejumlah lokasi di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani serta beberapa kawasan lain, mengakibatkan kecederaan kepada orang awam. Namun, keadaan itu ternyata tidak menghalang sebahagian rakyat Malaysia daripada meneruskan perjalanan ke negara jiran tersebut.

Fenomena rakyat Malaysia memilih selatan Thailand sebagai destinasi percutian bukanlah sesuatu yang baharu. Faktor jarak yang dekat, kemudahan perjalanan, keunikan makanan dan budaya serta persepsi terhadap kos barangan yang lebih
berpatutan antara perkara yang sering menjadi daya tarikan.

Kita sama sekali tidak menghalang rakyat melancong ke luar negara kerana setiap individu mempunyai hak untuk memilih destinasi percutian masing-masing. Ironinya, ada yang memilih melancong ke luar negara untuk mendapatkan pengalaman
baharu, menikmati budaya berbeza atau sekadar berehat daripada rutin kehidupan harian.

Penulis tidak berniat mempersoalkan pilihan rakyat tersebut, namun demikian dalam kita bebas menentukan ke mana mahu pergi, ada satu perkara yang tidak wajar dilupakan, iaitu Malaysia sendiri mempunyai begitu banyak destinasi, pengalaman
dan produk tempatan yang tidak kurang menariknya untuk diterokai.

Tuntasnya, dalam konteks ini, penulis ingin mengajak anggota masyarakat sama-sama menghayati semangat peribahasa “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri”.

Melancong dalam negara bukan sekadar soal memilih lokasi yang lebih dekat atau menjimatkan kos perjalanan, sebaliknya ia turut mencakupi soal satu bentuk sumbangan kecil yang cukup bermakna kepada pertubuhan ekonomi domestik.

Misalnya, bayangkan apabila sebuah keluarga memilih untuk bercuti di Langkawi, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Perak, Pahang atau mana-mana destinasi lain di negara ini, perbelanjaan mereka turut menggerakkan rantaian ekonomi yang lebih luas.

Wang yang dibelanjakan untuk penginapan akan memberi manfaat kepada pengusaha hotel dan inap desa. Perbelanjaan makanan membantu restoran, gerai dan pengusaha makanan. Pembelian cenderamata pula menyokong pengusaha kraf serta peniaga kecil.

Begitu juga dengan perkhidmatan pengangkutan, pengusaha aktiviti rekreasi, pemandu pelancong dan pelbagai perniagaan yang bergantung kepada kehadiran pelancong. Dalam erti kata lain, satu perjalanan percutian mempunyai kesan ekonomi yang jauh lebih luas daripada sekadar wang yang dibelanjakan oleh seorang pelancong.

Begitu juga dengan pilihan membeli produk tempatan, di mana tatkala sebahagian peniaga kecil dan perusahaan tempatan berdepan pelbagai cabaran untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan, sokongan pengguna tempatan amat bermakna. Setiap kali kita memilih produk keluaran usahawan tempatan, makan di premis tempatan atau menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perniagaan tempatan, kita sebenarnya membantu memastikan wang terus beredar dalam ekonomi negara.

Justeru, atas semangat “kita bantu kita”, sudah tiba masanya budaya menyokong produk tempatan dan pelancongan domestik diperkasakan sebagai sebahagian daripada gaya hidup masyarakat. Ini bukan bermakna kita perlu menolak produk luar atau berhenti melancong ke luar negara. Dunia semakin terbuka dan rakyat mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati pengalaman di negara lain. Malah, pelancongan antarabangsa juga mempunyai manfaat tersendiri dari segi pendedahan budaya, pendidikan dan pengalaman.

Namun persoalan besarnya bukan sama ada perlu melancong ke luar negara atau tidak, tetapi sama ada kita sudah memberikan perhatian yang sewajarnya kepada apa yang ada di negara sendiri. Hakikatnya, Malaysia mempunyai kelebihan yang tersendiri. Dari pantai dan pulau yang indah, kawasan tanah tinggi yang nyaman, hutan hujan tropika, warisan
sejarah, kepelbagaian makanan hinggalah kepada budaya dan tradisi masyarakat berbilang kaum, banyak lagi khazanah negara yang mungkin belum diterokai sepenuhnya oleh rakyat sendiri.

Menariknya, banyak destinasi tempatan turut menawarkan pelbagai promosi dan aktiviti khusus ketika musim cuti persekolahan. Pelbagai program pelancongan, kebudayaan, makanan, pertanian dan rekreasi dianjurkan bagi menarik lebih ramai pelancong domestik.

Sebagai contoh, Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS, Serdang, Selangor, bukan sahaja menjadi platform mempamerkan kemajuan sektor
pertanian negara, malah menawarkan peluang kepada masyarakat untuk mengenali produk, makanan, teknologi dan hasil inovasi tempatan dengan lebih dekat. Inilah antara ruang yang boleh dimanfaatkan rakyat untuk mengenali negara sendiri
dengan perspektif yang berbeza.

Dalam pada itu, aspek keselamatan juga sewajarnya menjadi pertimbangan dalam menentukan destinasi percutian. Setiap perjalanan, sama ada di dalam atau luar negara, perlu dirancang dengan mengambil kira keadaan semasa, nasihat pihak
berkuasa dan tahap keselamatan di sesuatu lokasi.

Yang penting, pertimbangan tersebut tidak seharusnya diterjemahkan sebagai kebimbangan terhadap mana-mana negara atau masyarakat tertentu. Setiap destinasi mempunyai keunikan, kekuatan dan cabarannya tersendiri. Sebagai pelancong yang bertanggungjawab, kita hanya perlu membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat dan keadaan semasa.

Pada masa yang sama, marilah kita memberikan peluang yang lebih besar kepada negara sendiri. Jika setiap keluarga memperuntukkan sebahagian daripada bajet percutian mereka untuk meneroka destinasi tempatan, menikmati makanan
tempatan dan membeli produk keluaran usahawan Malaysia, kesannya secara kolektif pasti lebih besar.

Bercuti ke luar negara adalah hak masing-masing. Namun, jangan sampai kita begitu teruja mencari pengalaman di negeri orang sehingga terlupa menghargai keindahan, kepelbagaian dan hasil usaha anak watan di negeri sendiri.

Jadi besarlah harapan kita agar anggota masyarakat lebih mengutamakan pelancongan dalam negara dan pembelian produk tempatan demi menyuntik pertumbuhan positif ekonomi domestik, selain mengurangkan aliran keluar wang negara.

Noor Mohamad Shakil Hameed,
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat),
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat,
Universiti Putra Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here