luar biasa
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini menerima penjelasan ahlinya, Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai gesaan agar ahli parti itu memilih calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Menurut ahli MKT, Datuk Puad Zarkashi, penerimaan itu berdasarkan keterangan Ahmad yang menegaskan dirinya tidak menyebut mengenai calon DAP tetapi menyentuh mengenai calon Kerajaan Perpaduan.

“Ahmad Maslan beri penjelasan bahawa yang dia kata sebenarnya ialah supaya menyokong calon Kerajaan Perpaduan. Itu sahaja.

“Dia tiada sebut pasal DAP pun. Jadi kita terimalah penjelasan itu. Kita nak Kerajaan Perpaduan kekal hingga cukup penggal,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MKT di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur malam ini.

Sebelum ini, Ahmad dilaporkan berkata, pengundi UMNO diminta memilih calon DAP dan Kerajaan Perpaduan di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan kerajaan sedia ada.

Malah Ahmad berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette