Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melancarkan laluan kontra di Koridor Ampang melibatkan laluan di Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak mulai 3 Julai ini.

Laluan kontra itu bertujuan menangani masalah kesesakan jalan raya.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata, bukti konsep (POC) laluan kontra bagi perkhidmatan itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan melibatkan Laluan 300 (Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang) dan DS01 (Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang ke Ampang Park/KLCC).

Beliau berkata laluan kontra itu akan mengelakkan bas-bas daripada tersekat di dalam kesesakan trafik yang selalunya menjadi punca utama kelewatan tiba bas di hentian.

“Dengan adanya satu laluan sementara yang dibuka khas untuk pengangkutan bas awam sahaja, pada waktu puncak pagi dan petang, ianya akan memastikan kekerapan bas yang lebih tepat, sekali gus memendekkan masa menunggu para penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Yazurin berkata, langkah ini merupakan sahutan kepada seruan kerajaan untuk menampilkan inisiatif penambahbaikan perkhidmatan bas, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas Rapid KL dan seterusnya menaikkan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada orang awam.

“Kami berharap lebih ramai penduduk di sekitar Ampang akan menggunakan perkhidmatan bas sebagai pilihan utama mereka untuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur. Jimat, cepat dan mudah,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rapidkl..saya bangga dengan usaha besar mereka untuk menggalakkan orang awam menggunakan pengangkutan awam.syabas ceo yazurin.welldone from azali rapidba depoh batu caves.

Comments are closed.