Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil selepas melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia 2023 di Tasik Simfoni, KLCC. Foto MOHD ADZLAN, 27 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Unsur-unsur negatif yang masih wujud dalam kalangan rakyat pada hari ini berpotensi menggugat kesepakatan dan perpaduan negara.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yakin rakyat akan menolak fahaman sempit yang boleh memecah-belahkan kestabilan negara dengan mengamalkan prinsip saling bertolak-ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Kemerdekaan yang dikecapi oleh kita semua memungkinkan kita untuk terus hidup dengan aman dan makmur.

Malaysia perlu mempunyai indeks kestabilan yang menjamin kesamarataan sosioekonomi setiap bangsa. Negara akan stabil kerana nikmat kemakmuran dikongsi bersama,” katanya ketika melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang dipilih pada tahun ini adalah ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.

Katanya, sejarah telah membuktikan bangsa yang mengkhianati negaranya sendiri akan mudah dijajah, ditakluki serta akhirnya mengalami kehancuran.

“Sejarah masa lampau merupakan cermin masa depan kita. Kita harus banyak belajar daripada apa yang telah berlaku pada masa lampau. Bangsa yang tidak mengetahui sejarah masa lampaunya tidak akan mampu membangunkan masa depannya.

“Kita perlu setia kepada negara. Tidak akan makna kemerdekaan yang kita kecapi ini, seandainya masih ada dalam kalangan kita tidak setia kepada negara dan bangsa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, katanya, tema Hari Kebangsaan tahun ini didasari tekad serta komitmen pemimpin bersama rakyat sebagai sebuah negara bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, bersatu-padu serta kehidupan  aman dan sejahtera.

Tambahnya lagi, tema berkenaan turut didokong dengan konsep Malaysia Madani sebagai kunci utama bagi memastikan rakyat mengecapi kemajuan serta kemodenan yang berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat menghormati dan ihsan.

Sementara itu, logo Malaysia Madani pula berteraskan kepada reka bentuk tangan yang sedang diangkat sebagai simbolik lafaz ikrar Rukun Negara yang  mengandungi warna-warna asas Jalur Gemilang.

Fahmi menyeru semua agensi kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama menzahirkan kecintaan kepada negara melalui penganjuran program-program sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 di peringkat organisasi dan komuniti masing-masing.

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 akan diadakan pada 15 Julai di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Ia disusuli pula dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Hari Malaysia pada 16 September di Kuching, Sarawak.- MalaysiaGazette