IPOH – Kerajaan komited bagi memastikan para pengamal media menikmati kebebasan dalam membuat sebarang laporan.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan, ia bukan alasan untuk wartawan menyebarkan berita palsu.

“Saya mahu ingatkan, kebebasan media bukan satu tiket dan lesen untuk sebarkan maklumat, berita palsu atau berita berunsur fitnah tanpa sumber yang sah kerana ia boleh ganggu kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023, di sini, hari ini.

Ia sebagai reaksinya dalam mengulas pencapaian negara yang berjaya memperbaiki kedudukan untuk Indeks Kebebasan Akhbar 2023 dikeluarkan oleh pertubuhan Reporters Without Borders.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, kementeriannya komited memastikan Majlis Media Malaysia dapat direalisasikan.

Katanya, perkara itu mungkin melibatkan pembaharuan undang-undang dan kawal selia selain usaha menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sektor media.

Sementara itu, beliau berharap kekurangan golongan wanita dalam industri media tidak menimbulkan sebarang isu untuk hak jantina tersebut turut diperjuangkan.

Kerisauan itu timbul susulan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) Rantau Asia-Pasifik melaporkan masalah berkenaan tiga tahun lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. aik bukan dulu yg rajin buat berita palsu fitnah dan menghasut tu puak² si fahmi n the gang ke…puak² bersatu pun jgn buat² lupa.

Comments are closed.