Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Razali Idris bercakap kepada media pada Majlis Bersatu Beraya Bersama Media di Wangsa 118, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan ‘tawaran untuk menyertai kerajaan perpaduan’ kepada Pas hanyalah satu strategi memecahbelahkan gabungan tersebut.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, langkah terdesak itu hanya dilakukan pihak-pihak tertentu mejelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dilihat akan memihak kepada PN.

“Itu strategi beliau (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim). Tetapi apabila Hadi ‘sendal’ dengan prinsip, sukar sikit nak masuk,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.

Razali berkata demikian merujuk kepada kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyatakan pihaknya dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang bertindak menawarkan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya Abdul Hadi ingin mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun ia harus dijalankan tanpa perlu membelakangakn prinsip penyatuan PN.

“Sebagai ketua parti, memang beliau layak jumpa sesiapa pun…sebab (dari segi) politik, Hadi subjektif dan (tindakannya) penuh demokrasi,” katanya.

Abdul Hadi semalam mendakwa tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak Pas. – MalaysiaGazette