Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa

KUANTAN – Pembinaan blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dijangka dimulakan sebaik selesai lantikan kontraktor utama selewatnya Jun ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, kerajaan komited memastikan projek berskala besar berjumlah RM605 juta itu siap dalam masa terdekat.

“Dalam perancangan awal, blok terbabit dijangka siap menjelang 2026 tapi dijangka akan ada kelewatan. Pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) kini dalam peringkat terakhir bagi melantik kontraktor utama yang dijangka berlaku akhir bulan Jun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA di sini petang ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Sementara itu, ketika diminta mengulas berkenaan status pembinaan Hospital Maran yang tertangguh sejak 2018, Dr Zaliha memberitahu, kerja-kerja awalan untuk memulakan projek terbabit telah dilaksanakan.

“Sebenarnya berkenaan Hospital Maran, kita ada Hospital Temerloh untuk membantu tapi apa pun kerja-kerja awalan telah dilakukan. Kita sudah kenalpasti feasibility yang berkaitan, tanah tapak yang dicadangkan. Kita akan buat tindakan susulan.

“Lawatan tapak baru bagi Hospital Maran telah diadakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) bersama Pejabat Kesihatan Daerah Maran, KKM dan Jabatan Teknikal pada 25 Mei 2023,” ulasnya.

Tambah Dr Zaliha, pihak JKNP selanjutnya akan mendapatkan penilaian tapak dari pihak JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran seterusnya mendapatkan surat pengesahan status tapak dari Pejabat Daerah dan Tanah Maran. – MalaysiaGazette