10 suspek termasuk lapan wanita antara ditahan terlibat dalam kegiatan menawarkan perjudian dalam talian.

GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket perjudian dalam talian selepas menyerbu sebuah premis yang dijadikan calling centre (pusat operasi) di sini pada Khamis lalu.

Serbuan jam 3.50 petang yang dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang turut membawa kepada tangkapan 10 individu tempatan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, kesemua suspek terdiri daripada lapan wanita dan dua lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 30-an.

Kok Chin (tengah).

Katanya, sindiket itu disyaki mempromosikan judi dalam talian dengan mensasarkan mangsa dari negara jiran.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek berkenaan dibekalkan nombor telefon daripada ejen lain di lokasi berlainan menerusi Google Drive. 

“Mereka kemudian akan menghubungi pelanggan di luar negara bagi menawarkan perkhidmatan permainan secara dalam talian.

“Sekiranya pelanggan tersebut berminat, mereka akan diberi pautan bagi tujuan pendaftaran namun transaksi kewangan diurus oleh ejen lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

10 suspek termasuk lapan wanita antara ditahan terlibat dalam kegiatan menawarkan perjudian dalam talian.

Dalam serbuan tersebut polis turut merampas 16 buah telefon bimbit, masing-masing 10 monitor, tetikus dan keyboard selain jadual kerja serta skrip perbualan yang digunakan suspek untuk menawarkan aktiviti perjudian kepada pelanggan.

Tambah Kok Chin, semakan mendapati kesemua yang ditahan didapati tidak mempunyai rekod lampau sama ada membabitkan jenayah atau dadah.

“Selain itu, pihak kita sedang mengesan baki ahli sindiket yang disyaki terbabit dengan kegiatan ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a), (b), (c) dan (g) Akta Rumah Terbuka 1953.

“Kita juga akan menerusi operasi sebegini dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan sindiket perjudian dalam talian dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke bilik gerakan menerusi talian 04 222 1624,” tegas Kok Chin. – MalaysiaGazette