Jam tangan jenama Apple didakwa mengeluarkan koleksi khas meraikan komuniti LGBTQ+

KUALA LUMPUR – Susulan rampasan jam tangan Swatch yang mempunyai huruf LGBTQ di butik jenama itu kini pengeluar telefon pintar terkenal, Apple pula didakwa mengeluarkan jam meraikan komuniti yang sama.

Perkara itu didedahkan bekas Ahli Parlimen Bukit Bintang, Wee Choo Keong sambil mempersoalkan sejauh mana tindakan Kementerian Dalam Negeri  (KDN) sama boleh diambil terhadap butik Apple di negara ini.

“Jam tangan Swatch yang dirampas mempunyai tulisan LBGT+ pada jam tangannya. Macam mana dengan Apple telah mengiklankan jam tangan edisi khasnya untuk meraikan LBGT+?” soalnya dalam ciapan Twitternya hari ini.

Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN dilaporkan menyerbu 11 kedai Swatch di pusat beli-belah seperti Pavilion KL, One Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah berhubung Pride Collection jenama itu.

Lima kedai di pusat beli-belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru dan Kuching pula diberikan amaran.

Serbuan dilaporkan berlaku selepas netizen mengaitkan koleksi itu dengan sokongan kumpulan rock British, Coldplay terhadap LGBT. – MalaysiaGazette