Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 29 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memperkenalkan peranti keselamatan elektronik berteknologi baharu dalam perkasakan kawalan dan penguatkuasaan yang dikenali sebagai e-seal.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, teknologi ini dibangunkan oleh kepakaran tempatan bagi memantau pergerakan logistik kontena dan lori- lori sekali gus dapat membanteras aktiviti penyeludupan dan meningkatkan pungutan hasil negara.

“Penggunaan e-seal telah meluas digunapakai di negara Afrika Timur seperti kastam Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi dan Republic Congo,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan kerja ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia, hari ini.

Hadir sama adalah Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad.

Katanya, Ahmad Maslan, penggunaan e-seal ini bagi menggantikan sil timah yang digunakan sekian lama,  dijangka meningkatkan hasil kutipan cukai negara sebanyak 20 peratus.

Sekiranya e-seal dilaksanakan, secara tidak langsung dapat meningkatkan keselamat kargo dan keberkesanan pergerakan kontena dan lori.

“Dagangan dapat tiba ke destinasi dengan tepat pada masanya dan maklumat pergerakan juga dapat dipantau,” ujar beliau.

Berbeza dengan penggunaan sil timah, peranti e-seal yang akan digunakan dapat mengelakkan aktiviti penukaran barangan setelah meninggalkan pelabuhan.

Sedangkan, sil timah boleh dipotong dan menyebabkan barangan dalam sesebuah kontena boleh ditukarkan.

“Katalah dari Pelabuhan dari Klang dibawa barangan itu ke Bukit Kayu Hitam misalnya dan sudah diisytihar dalam itu barangan tertentu.

“Tapi berlaku di luar penguatkuasaan kita, mereka singgah di satu-satu tempat selama dua jam misalnya dan dipotong sil timah tersebut dan diganti dengan minyak masak di dalam kontena itu,” katanya lagi.

Peranti keselamatan elektronik berteknologi baharu akan dilengkapi dengan sistem pengesan (GPS).

Ahmad berkata, penggunaan e-seal digunakan di Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi dan Congo, berjaya meningkatkan kutipan cukai sebanyak 20 peratus.

Tambahnya, projek rintis telah dijalankan melibatkan beberapa syarikat di Gelang Patah, Johor untuk melihat pergerakan dan keberkesanan transaksi peranti tersebut. – MalaysiaGazette