Jack Selby (kiri) semasa pertemuan dengan Rafizi Ramli baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Veteran dalam pembangunan hub syarikat pemula Jack Selby berminat untuk merealisasikan matlamat menjadikan Kuala Lumpur (KL) sebagai hub syarikat pemula dan industri digital serantau.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, Selby melahirkan hasrat tersebut ketika ditemui semasa Forum Ekonomi Qatar yang berlangsung baru-baru ini.

“Beliau melahirkan minat untuk membantu Malaysia merealisasikan sasaran yang telah saya gariskan untuk Kuala Lumpur sebagai hub startup dan industri digital serantau.

“Kepakaran Jack Selby adalah unik kerana usahanya membangunkan Arizona sebagai pusat syarikat pemula yang baru di luar Silicon Valley yang kini semakin berjaya menarik syarikat-syarikat pemula untuk datang ke Arizona.

“Sudah tentu, pengalaman beliau di Arizona kita boleh gunakan untuk merangka dasar dan program bagi melonjakkan status Kuala Lumpur sebagai destinasi utama digital di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Jack Selby merupakan Pengarah Urusan Thiel Capital dan pencetus Arizona Technology Innovation Summit.

Beliau merupakan kakitangan terawal PayPal bersama-sama kumpulan pengasas syarikat seperti Elon Musk, Peter Thiel dan Reid Hoffman.

Kumpulan pengasas PayPal menjadi tenaga utama yang menggerakkan industri digital dari Silicon Valley melalui penglibatan di dalam syarikat-syarikat digital terkenal antaranya seperti Tesla, SpaceX, Youtube, Facebook, LinkedIn dan OpenAI.

“Saya akan terus memaklumkan dari masa ke masa perkembangan usaha ekonomi digital ini.

“Saya percaya sekiranya kita terus tidak bersikap business as usual, terus berfikir dan melaksana, hasil ekonomi yang lebih besar nilainya akan dapat dinikmati semua,” kata Rafizi dalam kenyataan.

Tambahnya, Kuala Lumpur sebagai hub startup dan digital serantau ia sudah pasti mampu menarik lebih banyak pelaburan dan seterusnya menawarkan gaji yang lebih tinggi kepada rakyat Malaysia.

Sasaran menjadikan KL sebagai hub syarikat pemula dan industri digital serantau merupatan antara visi dan matlamat pembangunan ekonomi yang melihat ke masa depan.

Visi dan matlamat tersebut perlu berani, berbeza dan mampu memberikan impak besar kepada negara dan anak tempatan.

Rafizi berkata, beliaudan pasukan di Kementerian Ekonomi sedang bekerjasama untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi digital negara.

Kerajaan akan menumpukan kepada menyelaraskan sistem sokongan awam ke arah pendekatan bersepadu untuk menambahbaik ekosistem digital yang lebih berkesan.

Pihaknya juga memulakan pembangunan konsep dan penyelarasan fungsi ke arah pelaksanaan kerajaan digital yang menghasilkan produk-produk perkhidmatan awam berasaskan data dan digital secara bersepadu.-MalaysiaGazette