KUALA LUMPUR – Jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia menjangkau minggu kelima berturut-turut dengan aliran keluar bersih asing berjumlah RM58.7 juta minggu lalu.

Jumlah jualan itu adalah kira-kira 3.6 kali lebih rendah daripada RM211.0 juta pada minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, pelabur asing membeli RM10 juta pada hari Isnin dan RM42.6 juta pada hari Jumaat tetapi menjadi penjual bersih dari Selasa hingga Khamis.

Pelabur asing telah menjadi penjual bersih selama 15 daripada 21 minggu tahun ini, dengan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak RM2.45 bilion.

Firma penyelidikan itu berkata, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah pengangkutan & logistik (RM103.8 juta), teknologi (RM58.6 juta) dan telekomunikasi & media (RM50.4 juta).

Manakala tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan ( -RM122.8 juta), produk & perkhidmatan pengguna (-RM68.3 juta) dan REITs (-RM21.9 juta).

Menurutnya, pelabur institusi tempatan bertukar menjadi penjual bersih minggu lepas dengan jualan berjumlah RM32.4 juta selepas empat minggu melakukan belian bersih.

Mereka hanya beli bersih pada hari Selasa sebanyak RM29.1 juta.

Setakat ini, pelabur institusi telah menjadi pembeli bersih selama 15 daripada 21 minggu, dengan jumlah belian bersih sebanyak RM2.41 bilion.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan bertukar pembeli bersih pada RM91.1 juta minggu lepas selepas tiga minggu melakukan jualan bersih.

Setiap hari dagangan ialah hari belian bersih kecuali pada hari Jumaat, dengan jualan bersih sebanyak RM4.5 juta.

Setakat ini, peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 10 daripada 21 minggu.

Jumlah belian bersih tahun setakat ini berjumlah RM39.9 juta.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan iaitu pelabur runcit (+1.4%), institusi tempatan (+12.6%) dan pelabur asing (+18.2%). – MalaysiaGazette