Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2022.- Gambar fail

KUALA LUMPUR – Kerugian sebenar yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi projek kapal tempur pesisir (LCS) didakwa mencecah RM3.7 bilion.

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kerugian itu berdasarkan pertambahan kos daripada RM9 bilion kepada RM11.2 bilion iaitu peningkatan 24.4 peratus dan pengurangan kapal daripada 6 kepada 5 buah.

Tegas beliau, kenaikan kos mencetuskan persoalan serius mengenai sumber dana tambahan yang akan digunakan terutama apabila tidak ada peruntukan dalam Belanjawan 2023 dan tanpa kelulusan dari Parlimen.

“Saya memperkirakan kerugian sebenar kerajaan Malaysia melebihi RM3.7 bilion, sekiranya kos purata pembuatan sebuah kapal LCS pada permulaannya adalah sebanyak RM1.5 bilion.

“Jika kita membandingkan pernyataan tersebut dengan kos purata sebuah kapal LCS bagi Malaysia sebanyak RM 2.24 bilion, terdapat perbezaan yang ketara. Jika dibandingkan, LCS milik Mesir serta UEA memakan belanja sekitar €375 juta (sekitar RM 1.65 bilion) bagi setiap kapal.

“Jadi, berdasarkan perbandingan tersebut, kos purata terkini bagi pembinaan sebuah kapal LCS bagi Malaysia sebanyak RM2.24 bilion (RM11.2 bilion bagi 5 buah kapal) adalah lebih tinggi daripada kos yang disebutkan dalam pernyataan,” kata Ahli Parlimen Sik itu.

Syarikat Boustead Heavy Industrties Corporation Berhad (BHIC) baru-baru ini dilaporkan mengumumkan peningkatan nilai keseluruhan kontrak pembinaan lima buah kapal LCS di Bursa Malaysia .

Ahmad Tarmizi menegaskan, peningkatan kos dan kerugian besar yang dicatatkan menggambarkan keadaan yang sangat membingungkan dan mencetuskan tanda tanya mengenai tadbir urus kewangan negara.

“Adakah kerajaan mengambil kira implikasi kewangan jangka panjang dan kesan negatif yang timbul akibat peningkatan kos yang terlalu besar ini?

“Rakyat Malaysia berhak mengetahui dengan tepat bagaimana sumber kewangan negara digunakan dan mengapa keputusan yang membebankan ini diambil tanpa kebenaran Parlimen.

“Kegagalan dalam menguruskan projek ini dengan telus dan bertanggungjawab hanya akan membawa kepada kehilangan dana yang seharusnya digunakan untuk keperluan yang lebih penting dan berkesan bagi rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Sik itu mendakwa, keputusan untuk meneruskan projek pembinaan tersebut menggambarkan keengganan dan ketelusan pihak kerajaan dalam menguruskan sumber kewangan dengan penuh tanggungjawab.

Tambah beliau, projek berkenaan hanya akan memburukkan kewangan negara, menambah beban hutang  dan merugikan kepentingan jangka panjang, sekali gus menggambarkan kelemahan serius dalam pengurusan kewangan negara dan menimbulkan keraguan terhadap integriti kerajaan.-MalaysiaGazette