KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) nafi pernah mengeluarkan arahan penganjuran tayangan menonton filem biopik “Anwar: The Untold Story”.

KPM menerusi Facebook menegaskan, arahan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri seperti yang tular di media sosial adalah palsu.

“Tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penganjuran tayangan filem seperti yang ditularkan. Semak kesahihan maklumat, tidak pasti jangan kongsi,” demikian menurut KPM.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff berkongsi surat berkenaan di Facebooknya.

Beliau turut mempersoalkan arahan kesahihan arahan tersebut.

Surat bertarikh 22 Mei tertera nama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu meminta semua Ketua bahagian dan Pengarah Jabatan Negeri termasuk Pengetua dan Guru Besar menayangkan filem biopik tersebut.

Surat yang kononnya ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pharuddin Ghazali berkata, penganjuran program tersebut untuk membuka ruang bagi KPM dan murid untuk memahami erti dan konsep malaysia madani.- MalaysiaGazette