Bas TRX Ekpres terlibat dalam kemalangan di KM257, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, mengundur sejauh 700 meter menuruni kawasan berbukit selepas gagal memotong dalam kejadian 13 Mei 2023.

KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menggantung lesen pengendali dua syarikat bas ekspres yang terlibat dalam dua kemalangan pada pertengahan bulan ini.

Kementerian Pengangkutan berkata, lesen Syarikat S.V Juta Sdn. Bhd, pemilik bas ekspres Starmart Express digantung selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], kesalahan berulang dan pemanduan secara berbahaya.

Manakala Syarikat Kejora Masyhur Sdn. Bhd. pemilik TRA Xpress digantung 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamatan seperti mana senarai di bawah Pemeriksaan dan Audit Keselamatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Penggantungan itu berkuat kuasa 12 Jun ini.

Katanya, semakan yang dilakukan turut mendapati kedua-dua syarikat ini turut mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

Kementerian ini berkata, sepanjang tempoh penggantungan tersebut, sebarang transaksi berhubung dengan Lesen Pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak akan dibenarkan.

Bas Starmart Express telah berlanggar dengan 12 kenderaan lain di Kilometer 256.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara pada 12 Mei 2023 lalu.

Bas TRA Xpress pula berlanggar dengan dua buah lori di Kilometer 257.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan pada 13 Mei 2023 lalu.

“Kementerian Pengangkutan (MoT) sekali lagi menegaskan tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Siasatan yang melibatkan penglibatan pelbagai agensi di bawah MOT telah dilaksanakan bagi mengenal pasti punca kejadian, seterusnya memastikan insiden seumpama ini dapat dielakkan daripada berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian berharap tindakan yang dikenakan ke atas kedua syarikat pengendali ini menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamatan. – MalaysiaGazette