Mohd Muazzam Mohamed

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM118.1 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2023 (1Q2023), peningkatan 11.5% berbanding tempoh sama pada tahun 2022.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bank Islam berkata, hasil bagi suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 42.6% kepada RM1,103.9 juta berbanding RM774.0 juta sebelum ini.

Pengukuhan pendapatan bersih bank ini disumbangkan oleh peningkatan pendapatan bukan berasaskan dana yang mengukuh RM60.0 juta atau 132.4% dipacu pendapatan pelaburan serta laba bersih lebih tinggi daripada transaksi pertukaran asing.

Prestasi lebih baik ini diterjemah kepada perolehan sesaham bernilai 5.33 sen dan pulangan ekuiti bersih tahunan sebanyak 7.0%.

Pembiayaan kasar naik 10.7% tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM66.2 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM77.8 bilion dengan kenaikan y-o-y sebanyak RM9.7 bilion atau 14.3%.

Sebahagian besar daripada kenaikan ini disumbangkan oleh pertumbuhan y-o-y lebih baik sebanyak 25.9% atau RM6.8 bilion dalam jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan
(CASATIA) untuk berada pada RM33.0 bilion.

Komposisi ini menjadikan aras sihat sebanyak 42.5% jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan.

Katanya, nisbah modal Bank Islam kekal teguh pada 21.2%.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, setakat akhir Mac 2023, jumlah aset Bank Islam berada pada RM92.1 bilion dengan pertumbuhan y-o-y sebanyak 14.4%, dipacu pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.

“Kedudukan modal dan kecairan yang sihat juga mencerminkan momentum pertumbuhan dan asas kami kekal teguh,” tambah beliau.

Setakat 31 Mac 2023, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 1.37% dan angka ini kekal lebih baik berbanding purata industri sebanyak 1.75%. – MalaysiaGazette