Lukanisman (tengah) melepaskan nyamuk Aedes berwolbachia pada Majlis Pelepasan Nyamuk Wolbachia di Taman Bemban Jaya, Bemban, Jasin, Melaka, hari ini.

JASIN – Bekalan nyamuk Aedes yang disuntik bakteria Wolbachia boleh mencapai tahap kritikal jika rakyat tiada kesedaran mengenai usaha untuk mengatasi peningkatan wabak denggi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, walaupun negara tidak mengalami kekurangan nyamuk berkenaan ketika ini, langkah kempen kesedaran harus diperkasakan bagi mengelak berlaku kekurangan bekalan di masa hadapan.

“Itu (bekalan kritikal) mungkin boleh berlaku kerana masyarakat tiada kesedaran berkenaan pelepasan nyamuk ini. Sebab itu, kita gunakan kaedah uar-uarkan dan siarkan contohnya info grafik kawalan denggi melalui pelepasan nyamuk Berwolbachia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelepasan Nyamuk Berwolbachia di Taman Bemban Jaya, Bemban hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman.

Lukanisman Awang Sauni

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, pelepasan nyamuk berkenaan adalah proses untuk menghindari demam denggi selain melalui gerakan berasaskan komuniti melawan denggi seperti COMBI (Komunikasi Perubahan Tingkah Laku).

“Pelepasan kira-kira 10,000 nyamuk Aedes Berwolbachia di sini hari ini mampu merencatkan penyebaran virus denggi kepada manusia dan seterusnya dapat melindungi manusia daripada mendapat jangkitan demam denggi.

“Kaedah menggunakan nyamuk Aedes Berwolbachia ini telah dilaksanakan di beberapa buah negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dan telah disahkan selamat terhadap manusia dan alam sekitar,” katanya.

Tambahnya, pelepasan nyamuk Aedes Berwolbachia dewasa  akan dijalankan setiap minggu dengan bilangan 10,000 ekor sekali pelepasan selama lapan minggu berturut-turut.

“Sehingga Minggu Epid ke 21 tiada kes demam denggi dilaporkan dari lokaliti ini sekaligus menunjukkan hasil yang sangat positif dan kepadatan nyamuk Aedes Berwolbachia juga telah mencapai 80 peratus frekuensi seperti yang telah disasarkan kementerian.

“Projek pelepasan nyamuk Berwolbachia, ia bukan sahaja selamat kepada penduduk daripada segi jangkitan demam denggi, penduduk juga terhindar dan selamat daripada penggunaan semburan racun serangga,” katanya.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu, hampir 300,000 nyamuk Aedes Berwolbachia dewasa sudah dilepaskan di seluruh negeri Melaka. – MalaysiaGazette