Pokok cedar di Pulau Yakushima yang dikatakan berusia 7,000 tahun. foto Twitter

TOKYO – Kerajaan Jepun merancang untuk mempercepatkan kerja menebang dan menggantikan pokok cedar, sumber debunga yang mencetuskan demam hay.

Ia merupakan alahan yang dihadapi oleh berjuta-juta penduduk Jepun.

Perdana Menteri Fumio Kishida, Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Tetsuro Nomura dan pegawai lain meluluskan strategi itu dengan matlamat mengurangkan separuh jumlah debunga dalam tempoh lebih 30 tahun.

Jepun mempunyai 4.31 juta hektar hutan cedar yang ditanam menghasilkan debunga.

Strategi itu bertujuan untuk meningkatkan saiz hutan yang ditebang kepada kira-kira 70,000 hektar setahun dalam tempoh sedekad daripada 50,000 hektar pada masa ini.

Kerajaan juga akan menggalakkan penggantian pokok cedar sedia ada dengan pokok yang menghasilkan kurang debunga atau pokok lain.

Kishida berkata, demam hay adalah punca penderitaan ramai rakyat dan masalah sosial yang belum ditangani dengan berkesan, sambil menambah pendekatan jangka panjang diperlukan untuk menanganinya. – Agensi