Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa berkunjung ke ruang pameran selepas Majlis Perasmian Seminar Fikrah Siddiq Fadzil ÒCitra Budaya dan Peradaban Bangsa MalaysiaÓ di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menempelak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwanya kurang faham tentang Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai ketua kerajaan negeri, Muhammad Sanusi sepatutnya terikat dengan perundangan yang sedia ada selama ini.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah mengenai kenyataan Pulau Pinang milik negeri itu lebih kepada sandiwara politik.

“Kadang-kadang bila seorang pemimpin itu berucap dia kena faham Perlembagaan. Dia kena faham perjanjian, walaupun ada perjanjian 300 tahun dulu, 1,000 tahun dulu, dia ada perjanjian terakhir penubuhan Persekutuan Tanah Melayu Malaysia dan jelas hendak berucap dari segi sandiwara politik itu soalan lain tetapi sebagai seorang menteri besar, saya fikir wajar terikat dengan perundangan.

“Saya boleh komen ini berdasarkan ulasan Peguam Negara yang cukup keras dalam bidang ini iaitu menghormati perjanjian Perlembagaan yang diperkenan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddia Fadzil Citra Budaya dan Peradaban Bangsa di Wisma Dewan Bahasa Pustaka di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Muhammad Sanusi semalam yang menegaskan Pulau Pinang adalah milik Kedah seolah-olah mencabar Perlembagaan Persekutuan.

Muhammad Sanusi berkata, Kedah hanya mempunyai sempadan negeri dengan Perak dan Perlis sahaja.

“Saya tunggu dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kalau ada asas ditentu sahkan sempadan Kedah dengan negeri-negeri lain, yang saya tahu Pulau Pinang itu Kedah punya,” katanya pada sidang media di Alor Star.

Muhammad Sanusi turut mendakwa, pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah.

“Bukan nak ambil balik, bukan terlepas apa pun, memang hak kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette