PUTRAJAYA – Kertas Putih Kesihatan dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada minggu depan.
Bagaimanapun Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kertas berkenaan akan terlebih dahulu dibawa ke Mesyuarat Kabinet Jumaat ini.
“Kita sedang mendapatkan tarikh sebenar untuk (Kertas Putih Kesihatan) dibentang di Parlimen. Kita memang sudah dapat persetujuan daripada Setiausaha Parlimen untuk bentang (Kertas Putih Kesihatan) di sesi Parlimen akan datang pada Jun.
“Selepas bentang, bila pula kita akan laksana? Apa yang kita bentang ini masih dalam peringkat konsep tetapi kita sudah ada rangka yang meliputi empat tonggak,” katanya dalam taklimat Kertas Putih Kesihatan kepada media di kementeriannya hari ini.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, Kertas Putih akan digerakkan oleh pasukan petugas khas yang melihat kepad strategi yang telah dirancang oleh kementerian.
“Pasukan Petugas Khas ini tidak akan hanya terdiri daripda KKM sahaja tapi kita akan libatkan pemegang taruh yang lain supaya dapat penyelesaian jauh lebih baik daripada satu pihak sahaja,” katanya lagi.
Kertas Putih Kesihatan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi reformasi kesihatan bermatlamatkan ke arah satu sistem yang memfokuskan kepada perkhidmatan pencegahan dan promotif agar rakyat kekal sihat dan sejahtera.
Selain itu, ia juga akan mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan yang bebas dan berkecuali bagi membantu untuk memantau dan memastikan pelaksanaan reformasi kesihatan yang efektif.
Untuk rekod, sesi sidang Dewan Rakyat akan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini. – MalaysiaGazette