Pengerusi MARA, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah MARA (MARA) akan memanggil semua pihak terlibat bagi mencari jalan penyelesaian kepada kes-kes buli membabitkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) baru-baru ini, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pengerusi MARA itu berkata, pihaknya tidak lagi boleh menerima aktiviti kurang sihat itu ekoran beberapa kes buli yang berlaku melibatkan pelajarnya.

“Dalam masa terdekat, saya akan memanggil semua pihak yang terlibat, pengetua, guru kaunseling, warden dan pihak-pihak terlibat di peringkat pusat untuk memastikan isu ditangani secara holistik dan menyeluruh.

“Maaf saya tidak boleh terima jika masih menggunakan alasan-alasan tipikal,” katanya di Facebok hari ini.

Terbaharu, seorang pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Balik Pulau didakwa menjadi mangsa buli rakan sekelas terpaksa menerima 50 jahitan di muka akibat ditolak dari tangga dalam kejadian pada 25 Mei lalu.

Ekoran itu, polis menahan seorang pelajar Tingkatan 2 MRSM Balik Pulau di Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

Kejadian itu adalah terbaharu membabitkan MRSM Balik Pulau selepas lima pelajar Tingkatan 5 ditahan minggu lalu kerana disyaki membuli pelajar junior sekolah berkenaan.

Polis berkata, pelajar berkenaan ditahan kerana disyaki memukul beberapa pelajar junior kerana lewat turun untuk solat Subuh.

Terdahulu, Asyraf Wajdi menerima kunjungan daripada pelajar dan ibu bapa yang menjadi mangsa buli di salah sebuah MRSM di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini, lima pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditahan bagi membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar di tandas lelaki Blok B bangunan berkenaan pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette