Calon Perikatan Nasional P.081 Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berucap pada Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional Pahang sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Jerantut, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Khairil Nizam Khirudin mendedahkan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengajak Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, tindakan Kit Siang itu kerana kedudukan kerajaan amat genting sekarang, apatah lagi berlaku penolakan orang Melayu terhadap UMNO.

“Presiden UMNO itu (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak ‘buat homework’ dalam menjawab isu.

“Hakikatnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput Pas menyertai Kerajaan Perpaduan kerana kedudukan kerajaan amat genting ketika ini dan UMNO tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairil Nizam berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang berkata, parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu jangan perasan dipelawa menyertai Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang juga Presiden Pas bahawa ada pihak dalam kerajaan menghubunginya untuk berjumpa bagi menawarkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.

Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pemimpin Pas kononnya ada wakil daripada kerajaan yang menawarkan parti itu untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan.

Malah beliau sama sekali tidak dimaklumkan berhubung perkara itu kerana ia tidak pernah dibincang pada peringkat pimpinan tertinggi kerajaan antara Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette