Datuk Mohd. Puad Zarkashi.-Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini tertunggu-tunggu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas, My Story: Justice In The Wilderness, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi.

Menurut beliau, bilakah kerajaan akan menubuhkan RCI berkenaan kerana penubuhannya sudah dipersetujui pada Januari lalu.

“Bila agaknya RCI Tommy Thomas akan bermula? Rakyat tertunggu tunggu. Malaysia terkenal dengan justice delay. Kes (Tan Sri) Zeti, suami Zeti dan Hakim Nazlan terus senyap.

“Mana mungkin pejabat Peguam Negara tidak efisien,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, RCI untuk menyiasat buku bekas Peguam Negara itu belum ditubuhkan.

Kerajaan, jelas Azalina telah menyatakan persetujuan penubuhan RCI bagi meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan kehakiman dan perundangan negara.

Dalam pada itu, Puad mempersoalkan adakah wujud halangan dari dalam bagi menubuhkan RCI tersebut.

“Semoga tidak wujud konspirasi dan kedegilan. Justeru segerakan pemisahan antara Jabatan Pendakwaraya dan Jabatan Peguam Negara.

“Rakyat tidak mahu Malaysia dilanda “terkejut beruk” 2.0,” katanya lagi.

Untuk rekod, buku tulisan Thomas yang diterbitkan pada Januari 2021 mengundang kritikan beberapa pihak termasuk Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan beberapa laporan polis dibuat mengenainya.

Antara lain, Thomas mendakwa dalam bukunya bahawa beliau mengadakan perbincangan bersama bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika kedua-duanya dalam kerajaan dalam melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Media sebelum ini melaporkan buku tersebut yang kini didedahkan kepada awam apabila Jemaah Menteri terdahulu menyahklasifikasikan hasil siasatan itu pada 13 Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette