BUTTERWORTH – Pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghantar teks komunikasi lucah kepada seorang individu melalui aplikasi WhatsApp tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Alias Mahmud, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pendakwaan, tertuduh secara sedar menggunakan aplikasi WhatsApp menghantar komunikasi bersifat lucah iaitu teks cerita bertajuk ‘Aku puas bersama pak mertua dalam stor’ kepada satu nombor telefon lain dengan niat menyakitkan hati orang terbabit.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kilang di Perai pada pukul 7. 58 malam 8 November 2016.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh meperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap kesalahan itu.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nazrul Nizam Mohd Zameri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette