Gambar hiasan

GUA MUSANG – Seorang pencari madu lebah maut selepas terjatuh dari pokok tualang setinggi kira-kira 30 meter ketika hendak mengambil madu lebah dalam hutan Kampung Meranto, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata, mangsa Abdullah Che Nah, 35, dikatakan pergi mencari madu lebah bersama dua rakannya pada 12.18 tengah malam tadi.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah memanjat pokok tualang itu, lalu terjatuh di atas akar banir pokok tersebut dan tidak sedarkan diri.

“Dua rakannya kemudian pergi ke Balai Polis Bertam untuk membuat laporan polis dan hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – BERNAMA