KUALA LUMPUR – Dua pekerja melecur teruk apabila sebuah gudang penyimpanan bahan kimia di Taman Teknologi Park, di sini, terbakar petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kedua-dua mangsa yang berumur 20 dan 25 tahun itu melecur sebanyak 50 peratus di bahagian badan dan telah diberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Cancelor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, Bandar Tun Razak di Cheras.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 4.35 petang tadi dan seramai 14 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi 10 minit kemudian mendapati kebakaran melibatkan tempat penyimpanan bahan kimia yang mengakibatkan dua pekerjanya mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kebakaran yang melibatkan kawasan seluas 800 kaki persegi itu dapat dipadamkan pada pukul 5.15 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Bahan-bahan kimia yang terlibat dalam kebakaran telah berjaya dineutralkan dan tiada pencemaran berlaku,” katanya. – BERNAMA