Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercakap pada sidang media Pasca Mesyuarat Platform Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di Menara Prisma, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 31 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Pelaksanaan sistem visa pekerja mahir asing bersepadu atau Single Window Approach dijadual bermula 15 Jun ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, proses permohonan Pas Penggajian itu akan menggunakan sistem baharu dikenali sebagai Xpats Gateway dengan tempoh kelulusan lebih cepat.

“Sistem bersepadu ini membolehkan proses permohonan visa ekspatriat yang ambil masa lebih 80 hari kepada hanya sekitar 20 hingga ke 22 hari sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua agensi pelulus dan agensi kawal selia yang terlibat dalam proses tersebut melicinkan tadbir urus dengan lebih baik.

Jelas Rafizi, bagi fasa 1 ia melibatkan pembangunan Xpats Gateway oleh TalentCorp manakala fasa 2 membabitkan agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) yang mempunyai sistem sedia ada.

“Agensi ini memerlukan integrasi melalui Application Programme Interface (API) dan akan sedia diguna pakai paling lewat 15 Ogos ini,” ujarnya.

Dalam proses permohonan baharu itu, sektor Tier 1 dan 2 termasuk sektor yang penting akan diproses dalam tempoh lima hari bekerja.

Beliau berharap, sistem bersepadu itu dapat mengurangkan birokrasi kepada golongan berkenaan agar dilihat lebih mesra pengguna sekali gus memanfaatkan bakat mereka untuk ekonomi negara. – MalaysiaGazette