Anwar Ibrahim

PENAMPANG – Kerajaan Perpaduan berpendirian serius dan memasang tekad bagi menyelesaikan masalah prasarana antaranya melibatkan pendidikan, bekalan air dan jalan raya terutama di Sabah dengan kadar yang segera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dalam usaha menyelesaikan masalah itu, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama dengan padu bagi memastikan gerak kerja serta pelan yang dirancang mampu dilaksanakan dengan sempurna.

Katanya, secara peribadi beliau komited dalam membantu Sabah menyelesaikan masalah itu apabila sering datang ke negeri berkenaan iaitu tiga kali sejak memegang jawatan Perdana Menteri dan melihat sendiri situasi melibatkan prasarana di Negeri di Bawah Bayu itu.

“Maka saya buat keputusan esok pagi insya-Allah saya buat mesyuarat tertinggi peringkat Persekutuan dan negeri untuk selesaikan masalah air bersama kerajaan negeri,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan 2023 dan Presiden KDCA  Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. – Bernama