Isham Jalil.-ZAINAL, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Kesediaan Pas untuk menerima tawaran daripada sesiapa sahaja termasuk kerajaan perpaduan membuktikan parti itu tidak tahan untuk menjadi pembangkang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Isham Jalil berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mungkin bimbang sekiranya kes salah laku Perikatan Nasional (PN) dibuka dan akan terpalit sebagai kluster mahkamah.

“Kini tiba-tiba dia (Hadi) minat ingin masuk kerajaan pula. Mungkin PN tidak tahan jadi pembangkang dan takut kes-kes mereka dibuka dan mereka jadi kluster mahkamah.

“Kepada Hadi, dalam negara perlu ada pembangkang, jika tidak, tidak ada semak imbang. Jangan takut jadi pembangkang. Jika ada kes hadap sahaja di mahkamah. Orang UMNO pun sudah ramai naik turun mahkamah.

“Jika tidak bersalah bersihkan nama. Jika bersalah terimalah kifarah. Apa-apapun jangan aniaya orang. Jika banyak sangat yang tersirat, tersurat dan muslihat, lama-lama sendiri yang terjerat,” katanya menerusi status di Facebooknya.

Isham mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi bahawa beliau beberapa kali dihubungi “orang tertentu” yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, kenyataan itu jelas disanggah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan berkata tiada mana-mana pihak yang menghubungi Abdul Hadi.

“Hadi kata dia sedia jumpa Anwar, rupanya dia minat ingin masuk kerajaan. Dia kata kononnya ramai orang datang jumpa dia tawar untuk masuk kerajaan.

“Namun PM Anwar kata tadi bahawa tiada jemputan kepada Pas pun untuk masuk kerajaan. Ada orang kata Dap yang jemput Pas. Kalau ini betul, Hadi akan suruh orang-orang Pas undi Dap lagi kah macam dulu?”, katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin mendedahkan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengajak Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, tindakan Kit Siang itu kerana kedudukan kerajaan amat genting sekarang, apatah lagi berlaku penolakan orang Melayu terhadap UMNO. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Isham Jalil kata PAS tak tahan jadi pembangkang.. macam kelakar pun ada macam BODOH pun ada. Isham Jalil ni dah TUA tapi macam bebudak.. patutlah akarumbi gelar dia BUDAK Wak Welanon….
    Sayonara goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.