Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercakap pada sidang media Pasca Mesyuarat Platform Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) di Menara Prisma, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 31 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi akan membuat penstrukturan semula kontrak bagi industri pembersihan dan pencucian supaya ia dibuat berdasarkan prestasi.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ini bagi memastikan kontraktor memenuhi kriteria tertentu berbanding kontrak terdahulu yang hanya berdasarkan bilangan pekerja.

Secara tidak langsung, katanya, pelaksanaan itu mampu mengubah sektor berkenaan yang berintensif buruh kepada industri berkemahiran tinggi dan berasaskan teknologi.

“Dengan cara ini, ia boleh beri impak kepada struktur ekonomi dengan kemajuan industri ke rantaian nilai yang lebih tinggi sekali gus dapat menarik pekerja tempatan kembali ke bidang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), di sini hari ini.

Menurut Rafizi, iniisiatif itu akan membabitkan pelan peningkatan produktiviti, inovasi, teknologi selain kontraktor turut dinilai mengikut markah bulanan dan dibayar berdasarkan prestasi.

Menurutnya, projek rintis bagi pembaharuan itu akan diuji terlebih dahulu di lokasi tertentu melalui kerjasama dengan pemegang taruh lain yang dimudahcara oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

“Langkah diambil Kementerian Ekonomi akan membantu industri ini beralih kepada pelaburan yang melibatkan kelengkapan sekali gus kurang menggunakan pekerja asing,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast