KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan akan melaksanakan solat hajat esok ekoran fenomena cuaca panas dan kering yang berlarutan.
Dalam satu kenyataannya, jabatan itu menyarankan agar masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan melaksanakannya.
Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung solat hajat perlu dilaksanakan bagi mendoakan kesejahteraan negara berikutan fenomena cuaca panas dan kering pada masa ini.
“Sesungguhnya fenomena alam yang berlaku saban waktu adalah sebahagian dari tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah. Semoga rakyat Malaysia dihindarkan dari sebarang kemudaratan dan sentiasa berada di bawah lindungan Allah,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette