Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie

BUTTERWORTH – Tiga lelaki tempatan yang terlibat dalam kes curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) di Tasek Gelugor di sini diberkas di Sungai Petani, Kedah hari ini.

Tangkapan ke atas semua suspek itu dilakukan di tiga lokasi berasingan di Sungai Petani oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Fadzli Mohd Napiah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, tangkapan itu dilakukan rentetan daripada kes  curi kabel TM di tepi jalan Tasek Gelugor yang dilaporkan orang awam pukul 1.05 pagi pada Selasa lalu.

Jelas beliau, semasa anggota polis tiba di tempat kejadian, ketiga-tiga suspek telah melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum merempuh pokok.

Mereka kemudiannya melarikan diri ke dalam kawasan semak yang berhampiran.

“Kita laksanakan Ops kesan namun gagal menemui kesemua suspek yang meloloskan diri itu. Susulan itu, kita mengesan suspek dengan melakukan semakan ke atas kenderaan yang digunakan dan mendapati ia didaftarkan atas nama seorang lelaki tempatan beralamat di Sungai Petani.

“Berdasarkan butiran tersebut, kita berjaya menahan tiga lelaki terbabit dan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut turut membawa kepada penemuan peralatan yang dipercayai untuk mencuri kabel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Asri, hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Selain itu, hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamin,” katanya.

Kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga 3 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette