Bagi musim ini, UiTM United akan beraksi di Liga Amatur Malaysia iaitu Liga M4.

KUALA LUMPUR – Pasukan UiTM FC yang dijenamakan semula sebagai UiTM United musim ini menyasarkan impian memburu slot ke Liga M3 bagi musim depan.

Pengurus pasukan UiTM United, Ahmad Tarmizy Mohammed mengakui sasaran itu realistik apabila kekal dengan tradisi menggunakan sepenuhnya 100 peratus pemain dalam kalangan pelajar UiTM.

Bagi musim ini, UiTM United akan beraksi di Liga Amatur Malaysia iaitu Liga M4.

“UITM United tidaklah meletakkan harapan yang tinggi untuk menjadi juara pada musim ini tetapi akan berjuang sehabis baik untuk menjadi empat pasukan terbaik.

“Kita akan berusaha untuk mendapatkan tempat di Liga M3 pada musim hadapan,” kata Tarmizy pada majlis pelancaran UiTM United di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden UiTM United, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata pengurusan tertinggi UiTM memberikan sokongan yang penuh bagi pasukan ini untuk terus kekal mewarnai saingan bola sepak tempatan.

“UiTM mempunyai sistem pembangunan atlet yang sangat baik di mana UiTM sentiasa melahirkan atlet-atlet bola sepak bagi mewarnai liga-liga bola sepak Malaysia.

“Saya percsya penjenamaan ini akan memberikan semangat baharu dan berharap pemain dapat memberikan komitmen yang tinggi sekali gus mengharumkan nama UiTM,” katanya.

Sebagai rekod, UiTM United akan membuka tirai Liga M4 menentang Real Chukai FC di Stadium UiTM Shah Alam, pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast