MELAKA – Seorang duda didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isteri kerana berebut untuk mendapatkan rawatan kesihatan anak mereka tahun lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan tertuduh, Syazwan Izzudin Samsudin, 30, yang berdepan pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Norfarhana Azlin Azman, 24, yang ketika itu isterinya dengan cara memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian kiri muka, lengan, leher dan badan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kaki lima hadapan pintu masuk Klinik Family, Taman Cempaka di sini pada kira-kira pukul 10 malam 14 Ogos 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, kejadian berpunca apabila berlaku salah faham antara tertuduh dengan mangsa kerana berebut anak lelaki mereka yang ketika itu berusia tujuh bulan.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika tertuduh ingin membawanya ke klinik namun dihalang oleh mangsa menyebabkan berlaku pergelutan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Peguam Haslinda Abu Bakar bagaimanapun memohon hukuman ringan kerana ia adalah kesalahan pertama tertuduh yang masih muda dan telah insaf serta berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

Menurutnya, kejadian berlaku kerana tertuduh ingin menjaga kebajikan bayinya itu bagi memastikannya mendapatkan rawatan selain hanya berpendapatan RM1,700 sebulan sebagai pekerja kilang.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tiga bulan jika gagal bayar. – MalaysiaGazette