Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPT Tahun 2022 di Putrajaya. Foto MALAYSIA GAZETTE, 01 JUN 2023.

PUTRAJAYA — Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu mempunyai pelan pembangunan bakat dan pembinaan kapasiti yang baik bagi meningkatkan kecekapan warga kerjanya selain berkemahiran, profesional dan cemerlang.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendedahan terhadap ilmu dan perkembangan baharu mesti dijadikan budaya.

“Dalam dunia yang pantas berubah ini, apa yang kita tahu semalam dan hari ini, akan menjadi tidak relevan atau ketinggalan dalam sekelip mata.

“World Economic Forum pada bulan lalu baru sahaja menerbitkan The Future of Jobs Report 2023 yang menyebut bahawa dalam tempoh lima tahun akan datang, kira-kira 41 peratus daripada tenaga kerja yang ada di dalam industri mesti dilatih semua.

“Walau pun laporan tersebut menyebut secara khusus pekerja industri, saya percaya bahawa keperluan tersebut turut terpakai kepada kakitangan kementerian dan sektor awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPT Tahun 2022, di sini, hari ini.

Majlis itu meraikan 120 orang kakitangan KPT serta sembilan daripadanya menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang, 108 menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan tiga menerima Anugerah Kecemerlangan Perdana yang pertama kali diperkenalkan.

Hadir pada majlis Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Zahari Ismail.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, perkembangan sektor pendidikan tinggi dan sistem penyampaian secara umumnya, menuntut agar warga KPT menjadi kakitangan yang cakna dan berkebolehan.

Atas dasar itu, beliau menyarankan agar pengurusan KPT memandang serius keperluan untuk sentiasa memberikan latihan terbaik kepada warganya.

Katanya, warga kementerian itu perlu menimba ilmu.

“Latihan atau pembangunan kapasiti ini tidak semestinya dilakukan dengan agensi kerajaan. Tetapi dengan mana-mana sahaja yang berprestasi tinggi.

“Sama ada NGO, sektor korporat, gerakan sivil. Sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast