KUALA LUMPUR – Tindakan seorang anggota polis trafik yang cuai meletakkan kenderaannya di petak parkir khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) di Petaling Jaya baru-baru ini telah dikenakan tindakan saman.
Anggota itu dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Terdahulu tular satu video dan gambar menerusi aplikasi Twitter menunjukkan motosikal jenis Honda ST 1300, dikunci oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri di Petaling Jaya Isnin lalu.
Katanya, rentetan dari penularan video itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah bertindak ke lokasi dan mengeluarkan saman terhadap anggota yang menunggang motosikal tersebut.
“Kita telah mengesan satu gambar yang tular itu yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter memaparkan sebuah motosikal anggota trafik diparkir di petak khas OKU dan dikunci pengawal keselamatan.
“Kemudian, pasukan polis telah menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden tular itu sebelum mengeluarkan saman terhadap anggota yang melakukan kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, polis tidak sesekali akan berkompromi dengan pengguna jalan raya termasuk agensi penguat kuasa yang tidak mematuhi peraturan yang termaktub dalam undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang melanggar undang-undang. Pada masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arah papan tanda jalan,” katanya.
Video dan gambar yang tular itu juga menunjukkan anggota polis terbabit menunggu motosikalnya yang dikunci dibuka semula oleh seorang pengawal keselamatan yang bertugas kawasan kediaman itu.
Anggota polis trafik berkenaan kemudian beredar dari tempat itu selepas kunci motosikalnya dibuka. – MalaysiaGazette