Remaja remaja berusia 13 tahun ditahan memandu kereta tanpa lesen di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

BUKIT MERTAJAM – Padah memandu kereta tanpa lesen, dua beranak serta rakan remaja lelaki berusia 13 tahun itu ditahan polis di hadapan Flat Taman Machang Bubok di sini, semalam.

Tangkapan ke atas tiga individu tersebut dilakukan pada jam 3 petang selepas tular satu rakaman video menunjukkan orang awam menahan sebuah kereta yang dipandu remaja bawah umur di Jalan Rozhan, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua remaja lelaki berusia 13 tahun serta ibu kepada salah seorang remaja berkenaan yang berusia lewat 40-an.

“Hasil siasatan mendapati remaja berkenaan memandu sejauh empat kilometer dari kediaman mereka sebelum video mereka ditularkan orang awam.

Kenderaan yang dipandu remaja tersebut turut disita.

”Kita juga sedang mengesan rakan-rakan remaja terbabit yang dipercayai turut sama menaiki kereta itu.

“Selain itu, pihak polis juga telah menyita kereta yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Cheng San, pihaknya juga telah mengeluarkan tiga saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saman mengikut Seksyen 26(1) kerana tiada lesen memandu, Seksyen 39(1)  kerana memandu di bawah umur dan ibu suspek yang juga pemilik kereta disaman di bawah Seksyen 39(5) kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu.

“Sehubungan itu, kita menasihati ibu bapa dan masyarakat agar jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak memandu atau menunggang kerana membahayakan mereka serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 32 saat menunjukkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback berwarna hitam dihentikan di tengah jalan oleh orang awam susulan ia dipandu remaja bawah umur. – MalaysiaGazette