KUALA LUMPUR – Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) bekerjasama dengan Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) dan Grand Barakah Hotel Ampang bagi mementaskan teater berjudul Cikgu Anda pada 10 Jun depan.
Pementasan teater berdurasi kira-kira sejam 30 minit itu akan dibintangi barisan pelakon seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar; Hairi Safwan; Che Mat Raja Lawak; Najua P Ramlee; Sarah Fazny; Abon; Mubarak Majid dan Iera Sabariah.
Pengarahnya, Amran Nasrudin berkata, naskah bersempena sambutan Hari Guru itu adalah idea asal Datuk Dr. Suhaimi Ibrahim berdasarkan cerita sebenar dari perbualan dan perbincangan bersama ahli-ahli veteran Alumni PAYAAM.
“Skrip ini diadaptasikan ke pentas yang dilakonkan semula untuk mengangkat nama Yayasan Anda Akademik Malaysia, satu institusi pendidikan swasta yang diasaskan sekumpulan pelajar universiti tempatan.
“Ia dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac 1971.
“Beliau (Anwar) bersama beberapa mahasiswa telah menyumbang bakti mendidik sebahagian besar pelajar di yayasan itu yang terkandas dalam peperiksaan dan terus menyambung pelajaran mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Amran, sehingga kini, ramai pelajar Yayasan Anda berjaya menjadi peneraju utama jawatan tertinggi negara, jabatan kerajaan dan swasta.
Justeru, katanya, berdasarkan cerita benar ini, Cikgu Anda bakal menonjolkan semangat, usaha dan ketabahan mahasiswa dan guru mewujudkan modul dan kelas pembelajaran bagi menyelamatkan pelajar dari tercicir.
Pementasan itu juga bakal dihadiri oleh Perdana Menteri, yang juga penaung PAYAAM.
Sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi pihak penganjur di talian 012-2454888 (Datuk Dr Suhaimi Ibrahim), 016-2572747 (Mohd Dzaireen Abu Zahar) atau 017-3268068 (Marnie Musa). -MalaysiaGazette