TIS2023 telah menampilkan tokoh-tokoh ilmuan, politik dan pendakwah Islam.

KUALA LUMPUR – Terengganu International Summit 2023 (TIS2023) yang berlangsung hari ini di Taman Tamadun Islam, Terengganu telah menampilkan tokoh-tokoh ilmuan, politik dan pendakwah Islam termasuk dari luar negara bagi membincangkan isu kritikal berkaitan umat Islam.

Antaranya yang hadir, Tan Sri Abdul Hadi Awang dari Malaysia, Dr. Zakir Abdul Karim Naik (India), Syeikh Muhammad al-Hasan al-Diddu al-Shanqiti (Qatar) dan Al-Habib Dr. H. Salim Segaf Al-Jufri dari Indonesia.

Pengerusi Bersama TIS2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, persidangan telah menggariskan beberapa resolusi untuk diambil perhatian oleh para pemimpin, pertubuhan dan umat Islam supaya tidak terlalu bersikap defensif berhadapan dengan golongan yang fobia, paranoid dan pesimistik dengan Islam.

Sebaliknya, kata beliau, ia mestilah bersikap lebih proaktif dan dinamik dalam membetulkan pemikiran dan kefahaman mereka tentang kesyumulan Islam.

“Kemunculan Islamofobia atau salah faham terhadap Islam adalah berpunca daripada perpecahan rakyat, kejahilan pemimpin dan kelemahan para ulama kerana terkesan dengan pelbagai ideologi selain kejahilan agama sendiri sehingga menganggap Islam tiada hubungannya dengan cara kehidupan manusia dalam segala aspek.

Penyatuan ummah juga menjadi syarat penting kepada keberhasilan agenda menentang Islamofobia yang sedang berleluasa dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa.

TIS2023 telah dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhta.

“Oleh yang demikian, TIS2023 bersetuju agar usaha penyatuan ummah antara pemimpin-pemimpin dan umat Islam diperkukuhkan bermula daripada setiap negara umat Islam sehinggalah mampu menghasilkan kelestarian kesatuan yang lebih utuh peringkat antarabangsa.

“Fahaman Islamofobia bukan perkara remeh sebaliknya isu kritikal yang memerlukan kerjasama serta kesedaran semua pihak. Justeru itu, segala resolusi yang telah ditekankan dapat diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan fahaman Islamofobia dapat dibanteras,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Persidangan antarabangsa yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut menegaskan, betapa para pemimpin dan umat Islam mesti berpegang teguh dengan ajaran Islam yang syumul serta sentiasa mempromosi dan mendahulukan penyelesaian Islam dalam menangani isu dan masalah lokal dan global yang dihadapi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast