MELAKA – Kumpulan artis duo lelaki, ZAKH terus merancakkan dunia hiburan tanah air menerusi pelancaran single ketiga mereka bertajuk ‘Sekali Saja’ dengan mesej berkisarkan keredaan cinta sejati.

Menurut Zul Ariff dan Kamal Hamidi, mereka mengambil masa setahun untuk menghasilkan naskhah itu selepas koloberasi sulung berjudul ‘Cinta Semalam’ pada Januari tahun lalu dan lagu kedua, ‘Jauh’ menerima sambutan menggalakkan.

Zul Ariff atau nama sebenarnya, Ahmad Zul Ariff Ismail, 36, berkata, ‘Sekali Saja’ merupakan hasil idea dan lirik sentuhan Iswandy Atan, Ilusinasi dan Zul Ariff seperti dua single terdahulu mereka.

Ia merupakan kolaberasi ketiga ZAKH yang ditubuhkan pada 25 April 2021 selepas single kedua ‘Jauh’ mendapat lebih 500,000 tontonan di Youtube.

Sebelum bergandingan sebagai kumpulan duo, Zul Ariff dan Kamal Hamidi atau nama penuhnya Kamal Hamidi Ali, 31, adalah artis solo dengan masing masing mempunyai dua buah single iaitu ‘Saat Aku’ dan ‘Iya’ yang merupakan kerjasama sulung Zul Ariff bersama Mimi Fly pada tahun lalu manakala Kamal Hamidi lagu berjudul ‘Selagi Nafas’ dan ‘Terbuai Perasaan’.

Menyentuh mengenai single terbaharu itu yang mengambil masa hampir setahun untuk ke udara, Zul Ariff berkata, mereka cuba menampilkan muzik yang lebih segar mengekalkan elemen pop balada sebagai imej nyanyian.

“Lagu ‘Sekali Saja’, mengisahkan tentang reda seorang lelaki yang kehilangan cinta sejati, namun ianya subjektif dan bukanlah bermaksud cinta pasangan kekasih semata-mata.

“Cinta sejati itu juga boleh merujuk kepada cinta kekeluargaan dan juga berunsurkan kerohanian, di mana hilangnya rahmat dari Allah dan berada diambang penyesalan,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Melaka.

Menurutnya, lagu itu mendapat hasil sentuhan kreatif komposer berpengalaman, Iswandy Atan dan Ujang Exist (drummer), Faridzz Tagi (string arrangement), selain Along Exist (mixing).

“Harapan kami agar ‘Sekali Saja’ ini dapat diterima oleh semua pendengar dan menjadi lagu meruntun jiwa yang boleh didengari bermula 26 Mei 2023 di semua pelantar digital striming.

“Peminat semua peringkat umur termasuk di Indonesia, Singapura dan Brunei juga boleh menonton lirik lagu menerusi saluran Youtube ZAKH Music,” katanya. – MalaysiaGazette