Fairul Nizam Roslan

MELAKA –  Kerajaan negeri berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat meluluskan cadangan pembinaan gimnasium angkat berat di Nyalas bagi pembangunan sukan itu dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, pembinaan pusat latihan baharu itu penting sebagai satu fasiliti yang lebih kondusif serta selesa memandangkan atlet negeri ini yang bernaung di bawah Kelab Angkat Berat Nyalas menggunakan Dewan Japerun Asahan sebagai pusat latihan kerana ketiadaan tempat untuk berlatih.

“Di bawah kelab ini juga kita mempunyai lebih 30 atlet pelapis yang berlatih selain 13 atlet negeri yang kini bersekolah di Sekolah Sukan Negeri (SSN), Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota.

“Rekod prestasi mereka sangat cemerlang seperti yang dicapai oleh Nurul Syasya Khairina Samsur yang melakar sejarah sebagai atlet pertama Melaka menghadiahkan kilauan emas bagi angkat berat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022,” katanya kepada pemberita di Pusat Kegiatan Masyarakat Selandar, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Kemahiran Jangka Pendek (KKJP) Pendidikan Kemahiran 2023 Parlimen Alor Gajah dan Majlis Meraikan Atlet Kelab Sukan Angkat Berat Nyalas yang mengharumkan nama Melaka di Kejohanan Angkat Berat Belia, Remaja dan Senior Kebangsaan di Rompin, Pahang, baru-baru ini.

Fairul, yang juga Penasihat Kelab Angkat Berat Nyalas berkata, pihaknya telah mengenal pasti tapak lokasi yang sesuai bagi pembinaan gimnasium tersebut yang bersebelahan Dewan Japerun Asahan.

Katanya, gimnasium itu tidak hanya berfungsi sebagai pusat latihan tetapi juga platform memberi pendedahan ilmu sukan itu secara menyeluruh termasuklah pembelajaran teori, fisioterapi dan anatomic termasuklah dilengkapi dengan kemudahan asrama untuk kegunaan masa depan.

“Kita juga berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) Melaka yang telah memperuntukkan lebih RM70,000 bagi menyediakan segala peralatan dan perkakasan sukan angkat berat ini.

“Selain itu pihak kita akan terus memperkasakan sukan angkat berat ini agar mampu melahirkan atlet yang cemerlang dan mampu meraih kejayaan lebih membanggakan di peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa nfk jadi dengan sukan bola sepak di Melaka. Hanyut kerana tak muncul lagi dalam Liga Suoer mungkin tak boleh jejar bola sebab predidennya ovesiti.

Comments are closed.