Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera ringan selepas dipanah petir ketika sedang memikat burung di kawasan tanah lapang di Kampung Padang Tanjung, Marang, dekat sini, hari ini.

Mangsa, Mohd Hassan Mohd Rani, 38, disahkan maut di tempat kejadian manakala dua lagi rakannya Mohamad Fadilah Jusoh, 37, dan Abdul Hisyam Muhamad dilaporkan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada MERS999 pada jam 7 malam tadi.

“Kejadian dilaporkan berlaku di kawasan tanah lapang di kampung berkenaan pada jam 6 petang tadi. Sewaktu kejadian ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang memikat burung.

“Setelah itu, hujan lebat bersama ribut petir telah berlaku di lokasi. Mereka kemudian pergi berlindung di bawah sebatang pokok di kawasan berhampiran sebelum tiba-tiba Mohd Hassan dipanah petir,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Menurutnya, Mohamad Fadilah dan Abdul Hisyam yang berada berdekatan dengan Mohd Hassan turut terkena tempias panahan petir tersebut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk bedah siasat manakala dua rakannya mendapat rawatan di hospital sama. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast