KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat daripada China memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak RM368,650,879.20 terhadap Worldwide Holdings Berhad (Worldwide)
kerana didakwa melanggar Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SHA).

Perjanjian tersebut dimeterai oleh Western Power Clean Energy Sdn. Bhd. (WPCESB) yang dimiliki dua syarikat dari China iaitu Western Power Engineering & Construction Co. Ltd. dan Western Power International Pte. Ltd. bersama Worldwide masing-masing pada 10 Disember 2018 dan 5 Mac 2019.

Menerusi kenyataan, WPCESB berkata, kedua-dua perjanjian itu dibuat melalui syarikat Worldwide Green Energy Sdn. Bhd. (WGE) bagi membangun membina, mengurus, mengendalikan, dan menjaga sebuah kemudahan rawatan termal untuk rawatan sisa dan penukaran sisa kepada tenaga di Jeram, Kuala Selangor.

“Projek tersebut dilaksnakan oleh WGE yang ditubuhkan secara khas dengan pegangan saham bersama antara WPCESB dan Worldwide masing-masing sebanyak 45 dan 55 peratus.

“Worldwide merupakan sebuah syarikat awam yang dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Tabung Warisan Negeri Selangor, antara lain,” kata syarikat berkenaan.

Jelasnya saman tersebut sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sementara itu, WPCESB berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 21 Jun ini. – MalaysiaGazette