Antara rampasan kenderaan curi daripada penjenayah oleh JSJ Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,225 individu yang disyaki terlibat dalam jenayah curi kenderaan kereta ditahan polis, membabitkan barangan curi berjumlah RM20.3 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini menerusi Op Lejang Khas.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 6,709 kertas siasatan dibuka.

“Bahagian D4 telah mengadakan sebanyak 1,049 serbuan menerusi Op Lejang Khas sebelum berjaya membuat tangkapan terhadap seramai 1,225 orang yang curi kenderaan serta telah merampas wang tunai sebanyak RM502,865 daripada sindiket curi kenderaan itu.

“Siasatan lanjut mendapati nilai rampasan kenderaan adalah dianggarkan berjumlah RM19.8 juta melibatkan sebanyak 847 buah kenderaan rampasan,” katanya dalam Facebook, hari ini.

Katanya, polis berjaya menyelesaikan 1,658 kes daripada operasi yang dijalankan itu manakala sebanyak 639 kes atau 9.5 peratus kertas siasatan membawa kepada pertuduhan di mahkamah.

Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menasihati orang ramai agar tidak menangguhkan proses membuat laporan polis sekiranya kenderaan mereka dicuri.

“Masyarakat juga diingatkan agar mengelak daripada meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dipasang dengan kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) dan juga sentiasa melakukan ujian keberkesanan pada sistem pengera kenderaan anda,” katanya. -MalaysiaGazette