KDNK Terengganu
Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pas memberi jaminan, rakan politiknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diberi peluang dan ruang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (DUN) Terengganu akan datang.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagaimanapun rundingan mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu akan dimuktamadkan, Isnin depan.

“Insya-Allah ada kerusi untuk diberikan kepada Bersatu bertanding di Terengganu.

“Kelantan pun Insya-Allah (Bersatu) akan diberi ruang cuma di sana kita belum lagi tamatkan perbincangan kerusi.

“Insya-Allah dalam masa dua hari lagi kita akan duduk kembali dalam kalangan pimpinan untuk penentuan kerusi-kerusi yang boleh ditandingi (Bersatu),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs).

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr Rayney Azmi Ali dan Pengurus Besar PKENPs, Norsiake Kassim.

Khamis lalu, media melaporkan Pas memberi laluan kepada Bersatu untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dimenangi UMNO sebelum ini pada PRN akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, perkara tersebut merupakan asas perbincangan pihaknya sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini. – MalaysiaGazette