IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun hilang, dikhuatiri lemas, ketika mandi di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya telah menerima panggilan pada jam 5.06 petang tadi berkenaan kejadian tersebut.
Katanya, mangsa berpakaian set baju renang berwarna hitam bertompok hijau ketika hilang, dipercayai lemas.
“Setibanya jentera di lokasi, kita terima makluman daripada saksi, seorang kanak-kanak lelaki yang sedang mandi manda hilang dan dipercayai telah lemas,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan, dengan ‘surface searching’ dilakukan bersama orang kampung merangkumi jarak 30 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
Setakat ini, katanya, 10 orang terlibat dalam operasi SAR itu dengan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan juga telah digerakkan ke lokasi. – Bernama