V. Sivakumar.

SUNGAI SIPUT – Kementerian Sumber Manusia (KSM) bercadang menggunakan kaedah kursus secara modul (modular) bagi menarik minat anak muda Orang Asli menyertai Program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, adakalanya golongan berkenaan tidak berminat mempelajari suatu kemahiran kerana ia mengambil tempoh yang panjang untuk dipelajari.

Beliau berkata, kaedah modular sebaliknya membolehkan golongan berkenaan memperoleh sesuatu kemahiran dalam masa dua bulan pertama sahaja, sebelum terus mempelajari kemahiran lain.

“Selepas tempoh dua bulan pertama, mungkin dia (anak muda Orang Asli) sudah mempunyai kemahiran tertentu, dan dengan kemahiran itu dia sudahpun mula bekerja. Selepas itu mungkin dia nak tambah pengetahuan atau kemahiran lain,” katanya pada Program TVET dan Kerjaya Orang Asli di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong, di sini hari ini.

Selain itu Sivakumar berkata, KSM juga bercadang menggunakan kaedah program in situ iaitu membawa kursus berkaitan kemahiran tinggi ke kawasan tempat tinggal anak muda Orang Asli bagi menggalakkan penyertaan mereka.

Menerusi program hari ini, beliau berkata peserta terutama golongan belia dalam komuniti Orang Asli diberikan pendedahan kepada pelbagai bidang kemahiran berasaskan TVET seperti teknologi elektrik, pemasangan perancah (scaffolding), kulinari dan pastri, solekan dan dandanan rambut, serta penghasilan kraf tangan.

Menurutnya, peserta berpeluang menggunakan peralatan dan kelengkapan latihan yang dibawa oleh para pempamer untuk meningkatkan kefahaman dan minat mereka dalam bidang-bidang berkenaan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast