MELAKA – Insiden memindahkan pesakit kritikal di Hospital Melaka melalui tangga sehingga tular di media sosial hari ini tidak dapat dielakkan demi keselamatan nyawa pesakit berkenaan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwa Hee Sem berkata, ia berpunca daripada kerosakan luar jangka lif di Blok F sehingga memaksa pesakit berkenaan terpaksa segera dipindahkan dari wad aras empat ke aras tiga bangunan itu.

“Jabatan Kesihatan Negeri Melaka merujuk kepada paparan video berdurasi 1 minit 13 saat tular pada 3 Jun 2023 (Sabtu) berhubung proses pemindahan pesakit menggunakan tangga.

“Proses pemindahan pesakit melalui tangga perlu dilaksanakan atas faktor kepentingan dan kelangsungan rawatan pesakit kritikal dan pemindahan itu dilakukan dengan pemantauan rapi daripada pihak perawat dan pengurusan wad.

“Pesakit berkenaan juga telah dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang komplikasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Menurutnya, Hospital Melaka ketika ini sedang dalam tempoh projek naiktaraf lif di beberapa blok hospital dan sepanjang tempoh itu bilangan lif yang beroperasi telah dikurangkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian lif baru.

“Projek ini terbahagi kepada dua fasa, yang mana fasa pertama berlangsung dari Oktober 2022 sehingga Julai 2023, manakala fasa kedua dari Julai 2023 sehingga Disember 2023.

“Semalam, berlaku kerosakan luar jangka lif di Blok F namun sehingga pukul 2 petang, dua unit lif yang rosak telah dibaiki dan berfungsi dengan pemantauan,” katanya.

Hee Sem menambah, pihak Hospital Melaka sentiasa memastikan keselamatan serta kebajikan pesakit dan kakitangan diutamakan.

“Sehubungan itu, saya berharap supaya masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan pesakit,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai insiden berkenaan yang mengundang pelbagai reaksi orang ramai meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi perhatian serius menyelesaikan masalah itu. – MalaysiaGazette.