Fahmi (tengah) pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

TASEK GELUGOR – Keputusan pembahagian kerusi membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diputuskan Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pengumuman mengenai pembahagian itu mengambil tempoh masa tertentu memandangkan proses pembahagian itu belum dimuktamatkan.

“Pembahagian kerusi membabitkan PH dan BN bagi menghadapi PRN di enam negeri hampir selesai.

“Bagaimanapun, keputusan muktamat mengenainya akan dibuat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan sebelum dimaklumkan kepada umum,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pembahagian kerusi sukar disebabkan berlaku pertindihan di kawasan Dewan Undangan Negeri tertentu, Fahmi berkata, semua perkara itu akan dirunding dalam semangat Kerajaan Perpaduan bagi mencapai satu keputusan baik.

“Kita berjaya capai kesefahaman di peringkat pusat dalam membentuk Kerajaan Perpaduan jadi ia akan terjemahkannya di peringkat negeri pula.

“Kita yakin semua rundingan dalam pembahagian kerusi PRN akan mencapai satu kesefahaman dalam semangat perpaduan,” katanya.

Terdahulu, Fahmi merasmikan Majlis Pra Pelancaran Komuniti MADANI peringkat Pulau Pinang di Midtown Perda, Kubang Menerong, di sini.

Fahmi berkata, jemaah menteri telah setuju untuk menubuhkan 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara bagi menyampaikan dasar kerajaan termasuk menyalurkan maklumat sahih kepada rakyat.

“Beberapa penjenamaan semula nama komuniti ini telah dibuat bermula 2004 seperti Komuniti Satu Malaysia dan Komuniti Harapan Malaysia.

“InsyaAllah kita akan pastikan semua Komuniti Madani seluruh negara akan membantu memastikan penyampaian maklumat tepat, sahih dapat dilakukan serta sekitanya ada apa-apa isu berbentu fitnah atau maklumat palsu, maka ia dapat dijawab dengan segera,” jelas beliau. – MalaysiaGazette